Mungkin sesetengah pihak bertanya apakah kita wajib berperang sekarang ini untuk menetang Rejim Zionis dan sekutunya yang terang-terang merampas dan melakukan kezaliman di atas bumi umat Islam Palastin? Atau apakah sebenarnya hakikat jihad itu dan benarkah ianya merupakan salah satu daripada kewajipan yang mesti ditunaikan? Sekiranya begitu, apakah peringkat kewajipannya berbanding dengan segala kewajipan yang ada di dalam Islam? semua persoalan ini perlu dijawab oleh semua orang Islam yang mukallaf pada hari bagi membuktikan keperihatinannya terhadap saudaranya seIslam. Dengan kata lain, jika dia mengabaikannya maka dia termasuk di dalam golongan yang dimaksudkan oleh sebuah hadis yang berbunyi:
"من لا يهتم بأمر المسلمين فليس منهم"[1]
Ertinya:
"Barangsiapa yang tidak mengambil peduli tentang urusan umat Islam, maka dia bukan dari kalangan mereka".
Dalam masa yang sama dia juga boleh tersingkir daripada golongan yang dimaksudkan di dalam sebuah hadis yang lain:
"مثل المؤمنين في توادهم وتراحمهم وتعاطفهم مثل الجسد إذا اشتكى منه عضو تداعى له سائر الجسد بالسهر والحمى"[2]
Ertinya:
"Perumpamaan golongan yang beriman itu dari sudut sifat mereka yang saling sayang menyayangi dan mengambil berat antara satu sama lain samalah seperti satu tubuh badan. Apabila satu anggota badan merasa sakit, maka seluruh anggota badan akan turut merasa sakit dan berjaga malam".
Perlu dijelaskan di sini bahawa hukum- hukum Islam itu terbahagi Kepada tiga bahagian:
1) hukum tabligh.[3]
2) Hukum imamah.[4]
3) Hukum qadha`.[5][6]
Hukum qadha` itu ialah segala hukum-hakam yang memerlukan badan kehakiman untuk menyelesaikannya seperti yang berkait dengan jenayah, rumah tangga, muamalah sehari-hari dan sebagainya. Oleh kerana hukum ini tidak berkait dengan perbincangan, maka kita tangguhkan perbincangannya sehingga tiba masa yang sesuai.
Hukum tabligh itu bermaksud segala hukum hakam yang memperkuatkan maksud tabligh yang merupakan perkara pokok di dalam Islam. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَا أُنْزِلَ إِلَيْكَ مِنْ رَبِّكَ وَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُ وَاللَّهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ (٦٧)
67. Wahai Rasul Allah! sampaikanlah apa Yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu; dan jika Engkau tidak melakukannya (dengan menyampaikan semuanya), maka bermakna tiadalah Engkau menyampaikan perutusanNya; dan Allah jualah akan memeliharamu dari (kejahatan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum Yang kafir. (al-Maaidah).
Antara contoh hukum tabligh itu ialah jihad itu sendiri. Boleh jadi ada sesetengah pihak yang tidak bersetuju jihad itu diklasifikasikan sebagai hukum tabligh. Tetapi jika kita meneliti perkataan jihad yang digunakan di dalam al-Quran, didapati tidak semuanya bermakna jihad qitaliy (peperangan). Antara firman Allah SWT:
لَكِنِ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ جَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ وَأُولَئِكَ لَهُمُ الْخَيْرَاتُ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (٨٨)
88. (Mereka tetap tinggal) tetapi Rasulullah dan orang-orang Yang beriman bersamanya, berjihad Dengan harta benda dan jiwa mereka; dan mereka itulah orang-orang Yang mendapat kebaikan, dan mereka itulah juga Yang berjaya. (at-Taubah).
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ (٦٩)
69. Dan orang-orang Yang berusaha Dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama kami, Sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan Sesungguhnya (Pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang Yang berusaha membaiki amalannya.(al-Ankabut).
Sebahagian daripada Ahli tafsir mentafsirkan jihad di dalam ayat surah al-Ankabut ini sebagai bersabar di dalam melakukan ketaatan, menuntut ilmu, melawan hawa nafsu dan menghidupkan sunnah Nabi SAW di samping berperang dijalan Allah.[7]
فَلا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُمْ بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا (٥٢)
52. Oleh itu, janganlah Engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah Dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka Dengan perjuangan Yang besar dan bersungguh-sungguh.(al-Furqaan).
Setengah ahli Tafsir mentafsirkan jihad disini sebagai berdebat dan mematahkan hujah-hujah musuh di dalam usaha mereka untuk menghina Islam dengan al-Quran.[8]
Maka bolehlah dikatakan dakwah itu sebagai salah satu daripada bentuk jihad. Ini yang dinamakan sebagai jihad lisaniy. Termasuk dalam jihad lisaniy ini ialah memperkatakan kebenaran di hadapan pemerintah walaupun berdepan dengan ancaman bunuh. Sabda Rasulullah SAW:
إن من أعظم الجهاد كلمة عدل عند سلطان جائر[9]
Ertinya:
"Sesungguhnya di antara sebaik-baik jihad itu adalah perkataan yang adil (atau benar) yang diucapkan di hadapan pemerintah yang zalim".
Oleh kerana dakwah dan mempertahankan kebenaran itu sebahagian daripada maksud jihad, maka perlaksanaanya tidak perlu Kepada sebuah pemerintahan Islam dan umat Islam berkewajipan menyebarkan dakwah di mana sahaja mereka berada sama ada mereka itu sudah memiliki daulah islamiah atau belum lagi. Cuma pemerintahan islam itu diperlukan juga untuk melancarkan proses dakwah tersebut dan menjamin kesinambungannya.
Hukum Imamah itu ialah hukum-hukum yang hanya boleh dilaksanakan setelah wujud pemeritahan islam di samping ia boleh memperkuatkan lagi maksud imamah yang merupakan perkara pokok di dalam Islam. Satu ucapan yang masyhur yang dikatakan diucapkan oleh Saidina Usman, khalifah rasyid yang ketiga dalam sejarah Islam berbunyi:
إن الله يزع بالسلطان ما لا يزع بالقرآن[10]
Ertinya:
"Sesungguhnya Allah SWT (boleh jadi) akan menghalang hambanya daripada melakukan perkara yang terlarang dengan cara pemerintahan yang mana perkara itu mungkin tidak dapat dihalang dengan nasihat menggunakan al-Quran".
Sebahagian salafus Salih pula berkata:
الدين أس والسلطان حارس فما لا أس له فمهدوم وما لا حارس له فضائع[11]
Ertinya:
"Agama itu dasar dan pemerintah itu pula pengawalnya. Maka apa-apa sahaja perkara yang tiada dasar itu akan runtuh dan apa-apa sahaja perkara yang tiada pengawal maka ia satu kerja yang sia-sia".
Antara contoh hukum imamah pula ialah perisytiharan perang yang merupakan jihad qitaliyy. Oleh kerana peperangan ini melibatkan maslahat umum dan ia mungkin melibatkan hubungan antara negara, melibatkan jumlah manusia yang ramai, mengorbankan harta benda dan jiwa raga di samping ia memerlukan Kepada perancangan dan strategi yang rapi dan teliti, maka adalah menjadi kewajipan pemerintah untuk menentu dan dan mengawalnya mengikut maslahat dan tuntutan agama. Jadi menganjurkan peperangan itu menjadi fardu ain ke atas pemerintah Islam dan rakyat sesebuah negara Islam itu tidak dibenarkan mengangkat senjata selagi pemerintah tidak mengistiharkannya. Apabila peperangan telah diisytiharkan, maka ia menjadi fardu kifayah ke atas semua rakyat jelata. Jika sebahagian daripada mereka menyertainya, maka itu telah memadai dan gugurlah kewajipan itu daripada semua rakyat. Jika wujud situasi yang menuntut supaya pintu sempadan negara dibuka dan jihad qitaliyy diumumkan, tetapi pemerintah negara Islam terbabit tidak mengistiharkannya atau menyekat rakyatnya daripada menyertai jihad dengan alasan yang tidak munasabah, maka pemerintah tersebut telah melakukan satu dosa yang besar dan penghkianatan terhadap Islam.
من لم يغز أو يجهز غازيا أو يخلف غازيا في أهله بخير أصابه الله سبحانه بقارعة قبل يوم القيامة[12]
Ertinya:
"Barang siapa yang tidak berperang atau tidak mepersiapkan seorang tentera atau tidak menjaga keluarga seorang pejuang dengan baik, maka Allah SWT akan menimpakan malapetaka ke atasnya sebelum tiba hari kiamat".
Mungkin inilah yang menjadi sebab mengapa ada sesetengah pihak beranggapan bahawa jihad itu tidak wajib ke atas umat Islam kerana mereka tidak mempunyai sebuah negara yang melaksakan Islam secara menyeluruh atau mereka berada di bawah pemerintahan golongan yang tidak memandang serius tentang jihad walaupun nama meraka adalah nama orang Islam.
Mungkin ini juga yang menjadi sebab mengapa ada sesetengah pihak beranggapan bahawa jihad itu bukan salah satu daripada wasilah dakwah kerana ia hanya disyariatkan sebagai langkah darurat atau istithna`iy (استثنائي) untuk membenteras kezaliman atau mempertahankan Islam.
Namun satu hal yang perlu difahami di sini ialah jihad qitaliyy itu hanya menjadi tanggung jawab pemerintah Islam selagi ia tidak menjadi fardu ain ke atas semua umat Islam. Apabila musuh Islam telah menceroboh masuk ke kawasan umat Islam, maka jihad itu menjadi fardu ain ke atas semua rakyat negara yang dicerobohi itu tanpa perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pemerintah, ibu-bapa jika seseorang itu mempunyai ibu-bapa, suami jika dia seorang isteri atau majikan jika dia seorang hamba. Perbuatan musuh mencerobohi kawasan umat Islam, merampas harta benda dan mengorbankan nyawa mereka ini sama hukumnya seperti penyamun, perompak dan sebagainya yang dibincangkan oleh para fuqaha` di dalam bab shayyal (صيال). Mereka yang mati dalam mempertahankan tanah air dan harta benda adalah dikira sebagai syahid. Ini berasaskan Kepada beberapa hadis Nabi SAW. Antaranya :
من قتل دون ماله فهو شهيد[13]
Ertinya:
"Barang siapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya, maka dia adalah syahid".
Walaupun begitu, jihad itu bukan sahaja di medan perang atau di medan dakwah seperti yang disebut di atas. Ada beberapa jenis jihad lagi yang perlaksanaannya tidak tertakluk Kepada kuasa pemerintah seperti sumbangan harta untuk mangsa-mangsa perang, pembekalan senjata Kepada mujahidin-mujahidin di negara-negara bergolak seperti Palastin dan Iraq, boikot segala produk musuh, menggesa pemimpin-pemimpin umat Islam supaya mengambil tindakan yang serius apabila salah sebuah negara umat Islam diserang musuh sama ada melalui demonstrasi aman, persidangan-persidangan dan sebagainya. Antara bentuk jihad yang terperting pada hari ini ialah kerja-kerja pengislahan yang dilakukan oleh gerakan-gerakan Islam terhadap sistem-sistem negara umat Islam seperti sistem ekonomi, pentadbran negara, penyiaran, pendidikan dan sebagainya serta mewujudkan masyarakat yang memahami Islam denan sebenar-benarnya. Semua perkara-perkara di atas adalah jihad yang boleh dilakukan oleh umat Islam hari ini kerana ia merupakan hukum tabligh dan mereka dikira berdosa jika meninggalkannya atau cuba menentangnya. Malangnya masih ramai lagi umat Islam yang tidak memahami hakikat jihad itu sendiri bahkan ada pula yang menentangnya kerana kejahilan mereka terhadap agama sendiri.
Menjadi kewajipan Ke atas para du`at Islam untuk memberi kefahaman yang jelas dan sebenar tentang Islam Kepada masyarakat mereka dan bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat-matlamat di atas. Tugas yang berat dan mencabar ini menjadi seakan mustahil jika hanya dipikul oleh satu bahu sahaja. Bagaiman pula jika bahu yang tunggal itu digayuti oleh tangan-tangan yang tidak bertanggung jawab?
[1] Mu`ujam as-Shaghir (2:907).
[2] Sahih Muslim (2586).
[3] Tabligh itu bermaksud menyampaikan atau dakwah.
[4] Imamah itu bermaksud pemerintahan atau khilafah.
[5] Qadha` itu bermaksud kehakiman.
[6] Lihat al-Jihad fi al-Islam, Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthiy.
[7] Lihat Tafisir al-Baghawi sebagai contoh.
[8] Lihat Tafsir at-Thabari dan Ibnu Kathir sebagai contoh.
[9] Sunan at-Tirmizi (2174)
[10] Al-Jadd al-Hathith (1:60).
[11] Tahzib ar-Riasah Wa Tartib as-Siasah (1:95).
[12] Sunan Ibnu Majah (2762).
[13] Sahih al-Bukhari (2348).
No comments:
Post a Comment